Taubat itu permulaan jalan bagi orang yang salik (menjalani jalan akhirat) yang menyampaikan kepada berbuat ibadat yang sempurna yang menyampaikan kepada ma`rifat Allah Ta`ala, yang membawa kemenangan di dalam dunia dan di dalam akhirat. Taubat itu membawa kepada di kasih olih Allah Ta`ala saperti firman Allah Ta`ala:
إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوّٰبينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ
Bahawasanya Allah Ta`ala itu kasih Ia akan orang yang banyak taubat daripada segala dosanya, dan kasih Ia akan orang yang suci daripada segala dosanya dan daripada segala najis dan daripada hadas.
.
(Al-Baqarah akhir ayat 222)
Sabda Nabi Sallallahu `alaihi Wasallam :
" Orang yang taubat itu kekasih Allah dan orang yang taubat daripada dosanya itu saperti tiada berdosa."
Kata Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta`ala :
" Ketahui olehmu bahawasanya taubat itu ibarat daripada makna yang bersusun daripada tiga (3) perkara : Ilmu , Hal dan Fi`il (Perbuatan) "
" Maka hakikat taubat itu meninggalkan dosa pada ketika itu (meninggalkan maksiat yang dikerjakan pada ketika itu) dan mencita ia bahwa tiada sekali-kali kembali ia berkehendak mengerjakan maksiat yang lagi akan datang, mendapatkan ia akan barang yang telah ditinggalkan pada masa yang telah lalu daripada sembahyang dan lainnya."
Dan sesungguhnya bersabda Nabi Sallallahu`alaihi Wasallam :
" Menyesal akan dirinya daripada maksiat itu iaitu taubat."
Kerana menyesal itu adalah ia kemudian daripada ilmu (kemudian dari mengetahui akan bahwasanya maksiat yang jadi dengan dia dosa itu sangat memberi mudharat akan agamanya di dalam dunia dan di dalam akhirat dan dosa itu mendinding antaranya dan antara Tuhannya iaitu kekasihnya), maka apabila mengetahui yang demikian nescaya jadi menyesal akan dirinya daripada perbuat maksiat dan adalah menyesal itu melazimkan ia akan meninggalkan maksiat dan mencita-cita ia akan meninggalkan akan dia dan tiada sekali-kali mahu berbuat yang demikian itu.
Kata Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta`ala lagi :
" Hakikat taubat itu lepas hati daripada dosa kerana taubat itu satengah daripada amal bathin yang dalam hati."
Dan lagi kata Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta`ala :
" Telah berkata Syeikh kami Rahimahullahu Ta`ala : Had taubat itu iaitu meninggalkan menyahajakan berbuat dosa yang telah lalu seumpamanya daripadanya kerana menta`dzimkan bagi Allah Ta`ala dan kerana takut daripada murka-Nya."
Rujukan : Sirassalikin Juz` 4
No comments:
Post a Comment