Adalah bagi taubat itu empat (4) syarat:
- Menyehajakan meninggalkan dosa (iaitu menetapkan hatinya dan semata-mata citanya bahwa tiada ia kembali kepada mengerjakan dosa sekali-kali). Adapun meninggalkan dosa pada hal didalam hatinya bahawasanya barangkali ia kembali kepada mengerjakan dosa dan tiada tiap-tiap cita-citanya itu atas meninggalkan dosa itu tetapi adalah bergerak-gerak di dalam hatinya, terkadang jatuh di dalam hatinya berkehendak kembali kepada berbuat akan dosa itu, maka adalah yang demikian itu dinamakan menegahkan ia daripada berbuat dosa bukan dinamakan taubat daripada dosanya itu.
- Taubat ia daripada dosa yang telah terdahulu daripada seumpamanya itu, kerana jikalau tiada terdahulu daripadanya seumpamanya itu nescaya adalah ia dinamakan akan dia orang yang yang "muttaqi" , tiada dinamakan orang yang taubat. Adakah tiada engkau lihat bahawasanya Nabi Sallallahu`alaihi Wasallam itu ada ia "muttaqi" (memeliharakan daripada kufur), tiada sah dikatakan bahawasanya ia taubat daripada kufur kerana tiada terdahulu daripadanya kufur sekali-kali dan bahawasanya Saidina Umar bin Al-Khattab Radhiallahu `anhu sah dikata bahaa ia taubat daripada kufur kerana telah terdahulu daripadanya yang demikian itu.
- Bahawasanya yang telah terdahulu itu adalah ia seumpama dosa yang disahaja meninggalkan dia pada satu tempat dan pada satu darjat jua maka tiada ada disyaratkan dosa yang hendak ditinggalkannya itu pada rupanya dosa yang telah dikerjakannya akan dia dahulu itu. Adakah tiada engkau lihat bahawasanya orang yang tua yang lemah yang pati yang telah terdahulu itu berbuat zina dan memutuskan jalan apabila berkehendak ia taubat daripada demikian itu necaya dapat akan dia taubat tiada syak, kerana tiada tertutup daripadanya akan pintu taubat itu dan tiada dapat akan dia menyehaja akan meninggalkan zina dan merampas dijalan itu dengan ikhtiarnya kerana ia tiada kuasa pada ketika itu atas berbuat akan yang demikian itu maka tiada kuasa meninggalkan akan dia maka tiada sah disifatkan bahwa ia meninggalkan baginya dan dinamakan menegahkan daripadanya pada hal ia lemah daripadanya dan tiada dapat mengerjakan yang demikian itu tetapi kuasa ia mengerjakan seumpama zina dan merampas dijalan itu pada martabatnya dan pada darjatnya iaitu saperti menuduh akan sesaorang dan berdusta dan mengumpat-ngumpat akan orang dan mengadu-ngadu akan makhluk Allah kerana sekalian itu dinamakan maksiat dan jikalau ada dosanya bersalah-salahan pada segala hak manusia didalam tiap-tiap seorang itu dengan sekira-kira martabatnya tetapi sekalian itu maksiat yang berbagai yang adalah sekaliannya pada martabat yang satu iaitu dibawah maksiat yang bid`ah dan orang yang bid`ah itu dibawah martabat orang yang kufur maka dari kerana inilah sah daripada orang yang tua yang lemah itu taubat daripada maksiat berzina dan merampas dan sekalian dosanya yang telah lalu iaitu lemah daripadanya dan daripada memperbuat akan seumpamanya pada ketika berbuat didalam rupa dosanya yang dahulu itu.
- Bahawasanya adalah ia menyehaja meninggalkan dosa yang demikian itu kerana membesarkan Allah Ta`ala `Azza Wajalla dan kerana takut ia daripada murka Allah dan semata-mata takut ia akan siksa Allah yang amat sakit bukan kerana dunia dan bukan kerana takut akan mausia dan bukan kerana berkehendak dipuji akan manusia dan bukan keran masyhur kepada manusia dan bukan kerana dhaif didalam dirinya atau kerana faqirnya atau lainnya.
Maka segala syarat yang empat perkara yang tersebut ini itulah syarat taubat dan rukunnya, maka apabila hasil sekaliannya itu dan sempurnalah ia maka itulah hakikat taubat yang makbul. Wallallahu a`lam.
Rujukan : Sirassalikin Juz` 4